Pemain industri pelancongan S'wak digesa mohon baki dana RM21.5 juta

19/07/2022 08:55 PM

SIBU, 19 Julai (Bernama) -- Penggiat industri pelancongan di negeri ini digesa supaya segera memohon baki dana berjumlah RM21.5 juta diperuntukkan menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), yang belum dimanfaatkan sepenuhnya setakat ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting berkata jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM35 juta yang disediakan oleh kerajaan Sarawak tahun ini bagi membantu pemain industri itu.

Menurutnya, setakat ini hanya RM13.5 juta telah dilulus dan diagihkan kepada pemain industri pelancongan di negeri ini.

Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (File photo)

"Sekarang kita sudah memasuki pertengahan bulan Julai, jadi kita minta pemain-pemain industri, pihak persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan segera permohonan mereka," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pelancongan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata dana RM10 juta untuk penggiat seni individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan (NPO) yang menjalankan aktiviti pembangunan warisan, kesenian, kebudayaan dan fasilitasi juga masih berbaki RM9.2 juta setakat ini.

Ting berkata mereka yang ingin memohon bantuan menerusi dana yang disediakan itu boleh mendapatkan keterangan lanjut di laman sesawang rasmi MTCP di mtcp.sarawak.gov.my.

Sementara itu, beliau berkata sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lepas, jumlah kedatangan pengunjung ke Sarawak dari Januari hingga Jun tahun ini direkodkan telah meningkat kepada 573,619 orang berbanding hanya 64,767 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Tambahnya, jumlah pendapatan yang dijana hasil kemasukan pengunjung ini juga telah meningkat lebih tiga kali ganda apabila RM1.3 bilion direkodkan, berbanding hanya RM321.22 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA