Jumlah kes jenayah komersial di Sarawak turun namun kerugian meningkat -- Pesuruhjaya Polis

18/07/2022 12:30 PM

KUCHING, 18 Julai (Bernama) -- Jumlah kes jenayah komersial yang dicatatkan di Sarawak dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menurun berbanding tempoh yang sama tahun lepas, namun jumlah kerugian yang dilaporkan telah meningkat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata 1,278 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM36 juta dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 1,451 kes dengan kerugian RM30.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kes penipuan menerusi internet, menyamar, tawaran pekerjaan serta sindiket Macau Scam merupakan antara jenayah komersial tertinggi dilaporkan tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Sarawak di sini hari ini.

Katanya jenayah komersial menerusi internet mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 236 kes mengakibatkan kerugian RM1.3 juta, diikuti 128 kes menyamar dengan kerugian RM3.6 juta dan 119 kes tawaran pekerjaan palsu melibatkan kerugian RM1.5 juta.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini, Macau Scam pula ada 118 kes dengan kerugian RM8 juta serta pinjaman tidak wujud 117 kes dengan kerugian RM1.4 juta,” katanya.

Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kes jenayah komersial ini, Mohd Azman meminta orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam mengakses mana-mana laman web dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali.

“Tamatkan segera panggilan telefon jika dihubungi panggilan misteri yang berbicara mengenai wang atau maklumat perbankan,” katanya.

Secara keseluruhan beliau berkata statistik jenayah indeks negeri ini mengalami penurunan sebanyak 447 kes atau 19 peratus berbanding tahun lepas bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun.

-- BERNAMA