Angin kencang, hujan lebat rosakkan tiang elektrik, jejaskan bekalan di beberapa tempat di Miri

14/07/2022 10:52 PM

KUCHING, 13 Julai (Bernama) -- Pelanggan di beberapa kawasan sekitar Miri, termasuk Bakam, Bekenu, Beraya, Kuala Baram, Luak Bay, Lutong, Niah, Permy, Piasau, Pujut, Riam, Sg. Rait dan Tukau mengalami gangguan bekalan elektrik yang berlarutan susulan kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda bahagian itu Sabtu lepas hingga semalam.

Sarawak Energy Bhd (SEB) dalam kenyataan hari ini berkata kemudahan elektrik, termasuk overhead lines, mengalami kerosakan disebabkan angin kencang dan pokok tumbang.

Menurutnya pihak SEB dengan pantas melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan secara berperingkat.

“Bagaimanapun kerja-kerja pemulihan terhalang di beberapa kawasan akibat keadaan cuaca buruk yang berterusan. Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terpaksa membantu membersihkan pokok tumbang terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dapat diteruskan dengan selamat.

"Bekalan telah dipulihkan menerusi sumber alternatif semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan," katanya.

Naib Presiden Peruncitan SEB Yusri Safri dalam kenyataan yang sama mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan kerjasama mereka di tengah-tengah cabaran yang dihadapi oleh kru perkhidmatan.

“Keadaan cuaca semasa memberi cabaran dalam usaha kami memulihkan bekalan dengan selamat dan meminimumkan masa gangguan.

“Pasukan teknikal kami kekal berwaspada sepenuhnya dan bersedia untuk digerakkan tetapi disebabkan keadaan cuaca yang teruk, kami sedang berusaha memulihkan bekalan ke kawasan yang masih terjejas terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu Yusri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kemudahan elektrik yang rosak akibat keadaan cuaca buruk baru-baru ini kerana angin kencang boleh menyebabkan tiang elektrik patah atau tumbang.

"Mereka mesti menjauhkan diri daripada talian elektrik yang tumbang kerana ia mungkin masih membawa arus elektrik, sekali gus amat berbahaya," katanya.

-- BERNAMA