Penghidap HIV, AIDS perlu berani tampil dapatkan rawatan

Datuk Seri Fatimah Abdullah (centre)
06/07/2022 06:15 PM

KUCHING, 6 Julai (Bernama) -- Penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) perlu berani tampil mendapatkan rawatan kerana harapan untuk pulih adalah sangat tinggi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ini kerana, kini terdapat ubat yang boleh merawat jangkitan itu dan kementeriannya turut mengambil langkah secara holistik bagi menangani masalah tersebut.

"Selain memberikan rawatan, sistem sokongan juga penting kerana seperti senario di Sarawak apabila individu itu menghidap HIV atau AIDS mereka perlu ke hospital umum untuk mendapatkan rawatan.

"Jika tidak ada sistem sokongan seperti Anjung Kasih, peluang untuk individu ini tercicir daripada mendapatkan rawatan adalah sangat tinggi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Pelancaran Malaysia AIDS Foundation (MAF) - Sunway HOPE Project di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 2,720 kes HIV dan 1,093 kes AIDS telah direkodkan dari 2015 hingga 26 Mac lepas.

Sementara itu, Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan Dr Anita Suleiman berkata pihaknya kini sedang menjalankan kajian klinikal penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) untuk merawat pesakit HIV atau AIDS.

"Kajian intervensi berskala besar perlu dijalankan sebagai persediaan sebelum ubat itu diperkenalkan kepada orang ramai sebagai  pil pencegahan jangkitan HIV dan AIDS," katanya.

Menurutnya pada 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengemas kini garis panduan bagi penggunaan PrEP ini sebagai pilihan pencegahan tambahan bagi individu yang berisiko dijangkiti HIV. 

-- BERNAMA