SEDC mahu pihak swasta tingkat penglibatan dalam sektor perhotelan di Sarawak

03/07/2022 08:07 PM

KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mahukan supaya pihak swasta turut sama meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor perhotelan negeri memandangkan potensinya yang cukup besar.

Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husein berkata sektor perhotelan kini semakin rancak dan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan selepas sempadan negara mula dibuka untuk menerima kehadiran pelancong luar mulai April lepas.

“Kita mahukan supaya sektor swasta juga memainkan peranan, bukan hanya SEDC dalam menyediakan perhidmatan perhotelan kepada pelancong,” katanya pada pada sidang media sempena pembukaan semula Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.

Katanya Hotel Riverside Majestic yang merupakan anak syarikat milik SEDC  juga telah dinaikkan taraf kepada hotel bertaraf lima bintang dan mula beroperasi mulai esok setelah dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19 serta kerja-kerja pengubahsuaian.

Abdul Aziz berkata selain memberi tumpuan kepada pembukaan hotel di bandar raya Kuching, SEDC juga merancang untuk membina hotel-hotel kecil di kawasan-kawasan lain di Sarawak seperti Marudi, Limbang dan Lawas.

-- BERNAMA