IIM dan kerajaan Sarawak bekerjasama laksana program integriti

03/07/2022 05:21 PM

KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (lIM) dengan kerjasama kerajaan Sarawak hari ini melaksanakan program Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) sebagai satu instrumen untuk mewujudkan budaya tadbir urus berintegriti tinggi dan antirasuah.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melancarkan program itu di Lawas, di utara negeri ini dan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

IIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program CIB berupaya memberi impak positif kepada komuniti setempat khususnya dalam memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkasakan sistem pemantauan yang lebih inklusif dalam aspek integriti dan tadbir urus dalam komuniti.

“Antara instrumen dan sistem yang telah diadaptasi beberapa agensi di Sarawak adalah Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Program Latihan Integriti dan Etika (E&l) dan yang terbaharu adalah CIB,” menurut kenyataan itu.

Ini merupakan program rintis yang dibangunkan IIM bersama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) Jabatan Premier Sarawak sebagai pendekatan holistik berteraskan konteks tempatan.

Menerusi program ini, kaedah penyelesaian bersesuaian dikenal pasti bagi meningkatkan pembudayaan dan amalan integriti dalam penyampaian infrastruktur serta perkhidmatan awam, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), pembekal perkhidmatan dan komuniti tempatan.

Program ini akan dimulakan dalam organisasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Limbang dan Majlis Daerah Matu-Daro. 

“Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program CIB 1.0 pada 2016 di beberapa negeri melibatkan PBT seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Daerah Hulu Terengganu,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA