Kerajaan Sarawak luluskan tapak dan dana bina pos kawalan di Lawas - Panglima 1 Divisyen

First Infantry Division commander Major General Datuk Dzulkafli Mustaffa when met by the media. (Credit: Malaysian Army)
02/07/2022 12:51 PM

KUCHING, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyediakan tapak dan peruntukan bagi pembinaan pos kawalan di Lawas yang terletak di utara negeri ini, kata Panglima Divisyen Pertama Infantri (1 Divisyen) Malaysia Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa. 

Tanpa memberitahu jangka masa pelaksanaan projek pos kawalan itu, beliau berkata kerajaan negeri telah memberikan tanah seluas 1.3 hektar di kawasan itu sebagai tapak pembinaan pos kawalan berkenaan.

“Buat masa ini, (pos kawalan) Lawas itu kita tunggu dana masuk baru ia dapat dilaksanakan. Ia terletak di sempadan Sabah namun ada keperluan untuk pembinaan pos ini bagi sempadan negara memandangkan Lawas menjadi pintu masuk pendatang asing.

“Kerajaan negeri dengan sokongan Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Premier) telah memberi tanah seluas 1.3 hektar di Lawas untuk pos itu dan ia akan dibina atas dana kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perbarisan Ulang Tahun ke-56 1 Divisyen di Kem Penrissen di sini, hari ini yang melibatkan seramai 27 pegawai dan 463 anggota, diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen Kelapan Artileri Diraja, Leftenan Kolonel Jamaludin Ahmad Tajudin.

Turut berlangsung adalah acara penyampaian Sijil Kepujian Panglima 1 Divisyen kepada lapan pasukan serta 17 Pegawai, anggota lain-lain pangkat dan staf awam.

-- BERNAMA