Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim mampu bantu Sarawak lahirkan atlet

02/07/2022 12:54 AM

SIBU, 1 Julai (Bernama) -- Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya di sini diyakini mampu membantu Sarawak melahirkan lebih ramai atlet bukan sahaja di peringkat nasional malah yang bertaraf dunia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kemudahan bernilai RM13.9 juta itu mampu menjadi pusat bagi menghasilkan bakat sukan yang berpotensi besar untuk dilatih mengharumkan nama Bumi Kenyalang. 

"Kita di Sarawak banyak potensi dalam arena sukan... saya yakin kemudahan di Sibu Jaya ini dapat menambah para atlet kita yang boleh berlatih dengan jurulatih yang baik dan akhirnya boleh menjadi atlet di peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pusat sukan itu dan Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak Ke-6 di sini hari ini.

Pusat itu, yang didermakan oleh Amcorp Group Berhad melalui Yayasan Azman Hashim dan mula dibina sebelum pandemik COVID-19 pada 2020, mempunyai kemudahan sukan dalaman serta luaran yang lengkap.

Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Tan Sri Azman Hashim pula berharap lebih banyak acara sukan dibawa ke Sibu Jaya baik di peringkat antara bandar, negeri mahupun nasional pada masa akan datang.

Beliau berkata ini bagi merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan itu selain mencungkil bakat sukan yang boleh dilatih untuk menjadi atlet bertaraf dunia seperti ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg.

-- BERNAMA