Bangunan baharu Pasar Sungai Merah dibina mulai 10 Julai

30/06/2022 06:50 PM

SIBU, 30 Jun (Bernama) -- Sebuah bangunan baharu Pasar Sungai Merah di bandar ini akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM4.55 juta bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung dan peniaga di pasar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Albert Tiang berkata pembinaan bangunan dua tingkat pasar baharu di bawah projek rakyat tersebut akan bermula pada 10 Julai ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

"Pembinaan turut merangkumi tempat parkir kenderaan, tandas awam dan kios," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua 18 penjaja di pasar itu telah dipindahkan ke tapak sementara di Lorong Sungai Merah 2D yang terletak berdekatan pasar sedia ada bermula 27 Jun lepas dengan perniagaan dijalankan pada waktu siang dan malam berbanding pasar lama yang beroperasi pada sebelah siang sahaja.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penjaja pasar tamu Sungai Merah telah dipindahkan ke pasar tamu Bahagia Jaya di Teku dan telah mendapat sambutan baik daripada masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

-- BERNAMA