Sarawak peruntuk RM5 juta wujudkan taman orkid bagi penyelidikan

28/06/2022 04:58 PM

KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta bagi mewujudkan sebuah taman orkid untuk tujuan penyelidikan di Semenggoh dekat sini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata spesies orkid di Borneo agak berbeza daripada spesies yang terdapat di luar negara, justeru ia dilihat sebagai satu daripada biodiversiti yang perlu dikaji kerana keunikannya.

"Taman orkid ini bukan seperti taman orkid biasa, ia akan dilengkapi dengan alat digital bagi membolehkan orkid dianalisis dan dihasilkan dalam jumlah yang banyak dan menjadi penyelidikan ekonomi.

"Orkid boleh dikacukkan dengan spesies orkid lain untuk menghasilkan orkid hibrid yang boleh menghasilkan warna menarik, namun ia perlu dilakukan menerusi penyelidikan tertentu.

“Menerusi penyelidikan, anda boleh menentukan manfaat dari segi ekonomi untuk mewujudkan taman orkid itu, supaya petani kita mempunyai pilihan untuk menanam orkid selain daripada bertani kerana pasaran orkid adalah global," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak di Pusat Penyelidikan Hutan Industri (IRFC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) untuk pemuliharaan biodiversiti di Sarawak antara Jabatan Hutan Sarawak (FDS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Persatuan Jepun Malaysia (JMA) dan Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia).

Selain itu pertukaran memorandum perjanjian (MOA) untuk tujuan yang sama turut diadakan antara FDS dan Forest Research Institute Malaysia (FRIM) Inc Sdn Bhd.

MOU dan MOA berkenaan ditandatangani Pengarah FDS Datuk Hamden Mohammad, Ketua Pengarah JPSM Datuk Mohd Ridza Awang, Presiden JMA Ogawa Takakazu, Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia Sophia Lim dan Pengerusi FRIM Inc Noor Azmi Mat Said.

-- BERNAMA