Firma Sarawak diseru ambil peluang daripada rangka tindakan OGSE Kebangsaan

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (standing fourth, right) and Minister in the Prime Minister's Department (Economy) Datuk Seri Mustapa Mohamed (standing fourth, left) witnessed the signing of an agreement between Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PTTEP HK Offshore Limited and Sarawak Shell Bhd for Sarawak Integrated Sour Gas Evacuation System (SISGES) project, which is a significant milestone for Sarawak to ensure a sustainable gas supply for both industry and domestic market in conjunction with the closing of the Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Conference at the Borneo Convention Center Kuching (BCCK) today.
23/06/2022 09:23 PM

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sarawak perlu mengambil peluang yang dijana di bawah inisiatif Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 untuk menawarkan produk bernilai tinggi dan lestari, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata 88 peratus syarikat minyak dan gas di Malaysia kini telah membangunkan struktur tadbir urus lestari mereka dalam memastikan pelaksanaan strategi serta amalan perniagaan yang mampan. 

"Syarikat OGSE di Sarawak harus memanfaatkan peluang ini terutama dengan adanya geran pembangunan OGSE, promosi eksport serta pembangunan modal insan. Pada masa yang sama, mereka harus mengamalkan standard kesihatan, keselamatan dan persekitaran tertinggi dengan menggabungkan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya semasa ucapan penutup di Sarawak OGSE Roadshow 2022 di sini hari ini.

Ketika Sarawak bergerak ke arah masa depan karbon rendah dengan hidrogen yang boleh diperbaharui serta kesedaran yang lebih besar mengenai isu-isu hijau, beliau menekankan komitmen negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada gabungan kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui menjelang 2030. 

Dalam acara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Sarawak telah menunjukkan bahawa ia sedang menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui negara.

Menurut Mustapa, penubuhan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri itu mencerminkan komitmen Sarawak bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

"Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak amat menekankan kelestarian alam sekitar untuk mencapai peralihan tenaga melalui peluang dalam tenaga boleh diperbaharui," katanya. 

PCDS 2030 adalah penting untuk menangani perubahan iklim dalam mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang mampan melalui penciptaan peluang baharu yang bernilai tinggi selain bertujuan menjana pendapatan. 

Acara itu juga menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PTTEP HK Offshore Ltd dan Sarawak Shell Bhd untuk projek Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES), satu lagi pencapaian penting bagi Sarawak ke arah menjamin bekalan gas yang mampan untuk pasaran industri dan domestik. 

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Petroleum Sarawak Bhd Tan Sri Hamid Bugo dan Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corp Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus.

-- BERNAMA