Berkhidmat tanpa ganjaran, Pasukan Bomba Sukarela penting dalam beri respons terawal

22/06/2022 01:50 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 22 Jun (Bernama) -- Peranan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang menjalankan tugas tanpa meminta habuan amat penting dalam memberi respons terawal jika berlaku bencana dan kecemasan khususnya di Sarawak yang saiz negeri itu menghampiri keluasan Semenanjung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata adalah mustahil serta sukar untuk 38 balai bomba yang ada di negeri ini yang berkeluasan 124,000 kilometer persegi, untuk menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti dalam masa yang singkat.

“Jadi untuk memastikan perkhidmatan itu sampai kepada komuniti dari Tanjung Datu sehingga Lawas, penyelesaian jangka pendek atau inisiatif bomba adalah dengan menggalakkan penubuhan PBS bagi membantu bomba memberikan respons pertama jika berlakunya bencana atau kecemasan di kawasan yang sukar diakses.

“Kita tidak mahu bila bomba sampai ke lokasi kejadian, rumah itu sudah tinggal rangka, paling menyedihkan kebakaran melibatkan rumah panjang yang mengorbankan nyawa, contohnya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Betong yang hangus 100 peratus dan mengorbankan seorang kanak-kanak berusia lima tahun manakala dua mangsa melecur teruk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Khirudin berkata kecekapan dan kepakaran anggota PBS terlatih amat berguna dalam usaha membantu menyelamatkan mangsa daripada kehilangan harta benda atau terkorban.

“Jika berlaku sebarang bencana atau kecemasan mereka adalah respons pertama bomba sebelum pasukan sampai ke lokasi kejadian, contohnya jika berlaku kebakaran di kawasan yang sukar diakses seperti luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Setakat ini, kata Khirudin terdapat 56 PBS berdaftar di seluruh Sarawak dengan 2,471 keanggotaan dan penubuhan PBS ini adalah di bawah peruntukan Seksyen 62(1)(Ca) Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Sementara itu, Pengerusi PBS Kampung Bako Indah Noh Yahim berkata komuniti di kampung itu tergerak untuk menubuhkan PBS kerana sedar betapa pentingnya bantuan awal setelah menyaksikan kebakaran besar yang melibatkan empat rumah di kampung itu pada 2005.

 “Sejak itu, kami telah membuat keputusan untuk menyertai PBS dengan mengumpulkan sejumlah 30 ahli dan secara rasminya telah menjadi anggota PBS pada 2008 selepas menghabiskan kursus selama tiga bulan di balai bomba Tabuan Jaya,” katanya.

 Menurut Noh, kejayaan terbesar PBS Kampung Bako adalah semasa kejadian yang berlaku di Kampung Bako Hijrah (kampong berdekatan) pada 2012, melibatkan kebakaran sebuah rumah apabila pasukannya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke empat rumah yang lain sebelum anggota bomba tiba.

“Kejadian kedua pada 2016...saya sendiri berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang jatuh dari jeti ketika melakukan kerja-kerja di jeti kampung,” katanya dan menambah penubuhan PBS dapat mendedahkan kepada masyarakat betapa pentingnya peranan pasukan itu yang masih samar dalam kalangan penduduk sebelum ini.

Bagi Pengerusi PBS Kampung Simpok Alice Luna Bala pula, PBS di kampungnya telah ditubuhkan pada 2017 selepas kejadian banjir besar yang berlaku di kampung mereka tiga tahun sebelum itu yang menyebabkan komunitinya terputus hubungan selama tiga hari.

Menurutnya sejak itu, semakin ramai penduduk kampung menyedari betapa pentingnya bantuan awal sekiranya berlaku bencana dan jumlah keanggotaan PBS Kampung Simpok yang bermula dengan 10 orang kini telah bertambah melebihi 30 orang. 

Beliau berkata penambahan anggota ini berlaku susulan banyak kampung berdekatan akan menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan jika berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan. 

“Sungguhpun kebanyakan anggota mempunyai komitmen sendiri, kami tetap sedia menjalankan tugas sukarelawan ini tanpa mengharapkan sebarang ganjaran,” katanya.

-- BERNAMA