Jejak karbon di Kuching akan dikurangkan 15 peratus menjelang 2030 - Abang Jo

21/06/2022 04:31 PM

KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Sarawak jangka dapat mengurangkan kesan jejak karbon daripada pengangkutan darat di Bandaraya Kuching sebanyak 15 peratus menjelang 2030, kata Primier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sasaran ini boleh dicapai melalui sistem pengangkutan bersepadu moden dan mesra alam sekitar.

Abang Johari berkata sektor pengangkutan menyumbang kepada hampir satu perempat daripada pelepasan gas rumah hijau berkaitan tenaga global.

“Di bawah senario perniagaan seperti biasa, angka ini akan terus meningkat untuk mencapai satu pertiga daripada semua pelepasan menjelang 2040.

“Untuk menangani pelepasan Gas Rumah Hijau daripada sektor pengangkutan, kerajaan negeri saya memperkenalkan sejumlah bas menggunakan kuasa hidrogen pada 2020 dan sedang dalam proses memperkenalkan Transit Aliran Rel Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, sistem kereta api tanpa rel yang direka untuk digunakan pengangkutan penumpang awam bandar,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 kelima di sini, hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini menjadi platform untuk peserta berkongsi idea baharu, membangunkan strategi, menangani isu dan cabaran untuk memajukan Ekonomi Digital yang mampan.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan Sistem Lampu Isyarat Pintar di 42 persimpangan di Kuching dan daerah sekitarnya.

“Data trafik digunakan untuk membolehkan lampu isyarat berfungsi secara segerak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, masa perjalanan dan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif untuk memulihara, melindungi dan mengurus sumber negeri secara mampan.

“Kerajaan Sarawak komited mengekalkan 60 peratus keluasan tanah kita sebagai liputan hutan.

“Kami sedang memulihkan 200,000 hektar hutan yang terdegradasi dan memperuntukkan 1 juta hektar sebagai Kawasan Lindungi Sepenuhnya,” tambahnya.

-- BERNAMA