Gerakan koperasi di Sarawak catat pendapatan RM311.1 juta - Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
20/06/2022 04:45 PM

SERIAN (Sarawak), 20 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,109 buah koperasi yang beroperasi di Sarawak berjaya menjana pendapatan keseluruhan berjumlah RM311.1 juta sehingga 31 Dis lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), koperasi ini juga memiliki kekuatan aset bernilai RM636.4 juta, selain pemilikan syer dan yuran berjumlah RM216.5 juta.

“Jelas sekali gerakan koperasi ini mampu memacu perkembangan ekonomi negara khususnya negeri Sarawak ke tahap lebih mantap,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2022 peringkat negeri Sarawak dan sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini, hari ini.

Katanya gerakan koperasi negeri ini dapat diperkukuhkan lagi menerusi jalinan kerjasama yang telah digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dilaksanakan kerajaan Sarawak bermula tahun lepas.

Menurutnya, PCDS 2030 bertujuan mengembangkan lagi ekonomi Sarawak sekurang-kurangnya dua kali ganda menjelang 2030 dengan hasrat negeri ini mencapai status maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun tersebut.

“Justeru itu, saya menyeru koperasi di negeri ini untuk terus meningkatkan daya saing dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi negeri Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA