Pemuzik termuda RWMF, Nikita sasar lakar nama sebagai pemain sape

Nikita Sarna
19/06/2022 05:43 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 19 Jun (Bernama) -- Nama seperti Jerry Kamit dan Elizabeth Bungan adalah antara pemuzik terkenal bagi instrumen sape atau sampe, yang merupakan alat muzik tradisi bertali masyarakat Orang Ulu iaitu Kenyah dan Kayan, di Sarawak.

Bagi pemuzik sape termuda, Nikita Sarna, 11, yang merupakan penghibur termuda di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022, Jerry sentiasa menjadi idolanya  dalam industri sape, justeru dia berharap satu hari nanti dapat mengejar impiannya bergelar pemuzik profesional, mengikut jejak Jerry dan Elizabeth.

Nikita Sarna (Credit: RWMF 2022)

“Dalam beberapa tahun akan datang, saya mengimpikan untuk membuka kelas sape saya sendiri, seperti guru saya Hallan Hashim. Saya tidak sabar untuk menjayakannya.

“Idola pertama saya bagi instrumen sape adalah Jerry Kamit dan sepupu saya memperkenalkan saya dengan Hallan Hashim yang kini menjadi guru saya. Beliau yang memberitahu saya mengenai Alena Murang (pemain sape Sarawak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa) dan sekarang saya tidak percaya saya sebenarnya sepentas dengan Alena,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nikita atau lebih dikenali sebagai Niki berkata dia berasa bangga dapat membuat persembahan di RWMF, apatah lagi di pentas yang sama dengan insan yang dikaguminya, Alena.

Alena, yang berketurunan Kelabit dan Itali-Inggeris, juga merupakan penyanyi dan penulis lagu.

“Ini adalah kolaborasi pertama kami dan saya mengenalinya ketika saya berusia sembilan tahun dan sejak itu mula meminatinya, melihat beliau memainkan sape, ia begitu tenang dan cantik.

“RWMF sangat menyeronokkan dan ini adalah kali pertama saya membuat persembahan di hadapan orang ramai seperti ini. Saya teruja namun dalam masa yang sama agak gementar untuk membuat persembahan di sini,” katanya.

Nikita yang berketurunan Kayan dan Punjabi berkata dia memiliki instrumen sape ketika berusia lapan tahun selepas menonton kip video YouTube pada perhimpunan keluarga sempena Krismas dan serta-merta jatuh cinta dengan alat muzik yang menyerupai gitar dan tergolong dalam keluarga kordofon atau alat muzik bertali itu.

Anak kelahiran Selayang dan kemudian berpindah ke Miri ketika berusia tujuh tahun itu berkata dia beruntung kerana kedua-dua ibu dan bapanya memberi sokongan kuat terhadap impiannya untuk bermain sape dan memukau penonton dengan kemahirannya. 

Nikita akan mempamerkan kemahirannya bermain sape pada acara kemuncak RWMF 2022 malam ini bersama artis tempatan dan antarabangsa seperti Alena, Tima Vaananen dari Finland, Yayi Cai (China) dan Flame of the Forest (Singapura).

-- BERNAMA