Rekod, arkib yang disimpan baik bantu tuntut hak Sarawak

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (middle)
17/06/2022 09:27 PM

SIBU, 17 Jun (Bernama) -- Rekod dan arkib yang disimpan dengan baik di dalam dan luar negara telah membantu kerajaan Sarawak mendapatkan kembali hak-haknya yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata rekod dan arkib berkaitan MA63 itu membolehkan kerajaan Sarawak mengenal pasti hak-hak yang telah terhakis dan seterusnya berjaya dalam rundingan mendapatkan kembali hak-hak berkenaan.

“Rundingan-rundingan kita adalah berasaskan kepada rekod dan data sejarah. Tanpa semua ini kita tidak akan dapat menikmati hasilnya,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Penilaian dan Penghargaan Pengurusan Rekod dalam Perkhidmatan Awam Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan Sarawak bertuah kerana satu rombongan yang dihantar ke United Kingdom untuk mencari bahan-bahan dan rekod perjanjian itu telah mendapati kesemuanya masih disimpan dengan baik di sana yang membolehkan rundingan tersebut dijalankan.

“Bayangkan kalau semua rekod berkenaan hilang, sudah tentu kita tidak akan berjaya menuntut apa-apa sepertimana yang telah kita lakukan sekarang termasuk royalti (minyak dan gas), meningkatkan pendapatan dan mengembalikan hak-hak yang terhakis,” katanya.

Jaul berkata rekod dan arkib tersebut bukannya semata-mata untuk menuntut hak-hak Sarawak di bawah MA63 malah ia merupakan sebahagian daripada sejarah lengkap penubuhan Malaysia yang perlu dipelihara sebaik mungkin.

"Rekod diperlukan semasa pewujudan dan penggunaannya, malahan kekal menjadi warisan intelektual untuk rujukan dan penyelidikan generasi yang akan datang," katanya sambil menambah Pustaka Negeri Sarawak memainkan peranan untuk menyebarluaskan lagi kepentingan rekod dalam perkhidmatan awam.

-- BERNAMA