Sarawak kaji penubuhan agensi untuk selaras pembangunan Kuching

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
12/06/2022 05:03 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Sarawak sedang mengkaji penubuhan sebuah agensi khusus bagi menyelaras pembangunan projek-projek yang diluluskan di sekitar bahagian Kuching, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata badan bukan berkanun yang dinamakan Greater Kuching Coordinating Agency itu akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai projek, dengan modelnya agak hampir sama seperti Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) yang dilancarkannya baru-baru ini.

“Kawasan kaum Bidayuh yang terletak di pinggir Kuching, mereka minta ditubuhkan sebuah badan khusus bagi menyelaras semua pembangunan yang telah diluluskan di kawasan berkenaan, terutama di Serian, Bau dan kawasan-kawasan luar bandar raya Kuching.

“Kita sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah agensi bagi tujuan itu, dan ideanya ialah kita beri mereka geran pembangunan, mereka boleh selaras pelaksanaan pelbagai projek mereka sendiri,”  katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee serta Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep.

-- BERNAMA