Komuniti Keluarga Malaysia boleh jadi jambatan penghubung kerajaan-rakyat

24/05/2022 12:20 AM

KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- Penglibatan rakyat di dalam penerokaan ekonomi baharu di Sarawak bagi mengangkat negeri itu sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi pada 2030 haruslah berasaskan kepada maklumat yang betul, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat banyak maklumat yang tidak benar disebarkan menerusi media sosial, dan di sini Komuniti Keluarga Malaysia boleh menjadi satu jambatan yang menghubungkan pemimpin-pemimpin dengan rakyat biasa di seluruh negeri bagi menyampaikan maklumat yang betul.

“Kita mempunyai asas yang kukuh dan masa depan yang baik asalkan kita terus teguh bersatu padu bekerjsama antara satu sama lain,” kata beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra Komuniti Keluarga Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Sarawak malam ini.

Awang Tengah berkata langkah kerajaan Sarawak untuk membawa rakyat negeri ini untuk meneroka ekonomi baharu ini telah diperkukuhkan lagi apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2022 dan RUU Hutan (Pindaan) 2022 diluluskan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Katanya kerajaan negeri mahu usaha meningkatkan pendapatan itu disertai oleh semua rakyat Sarawak dan penyertaan mereka hanya dapat ditingkatkan dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.

“Peranan ini juga dapat dimainkan oleh Komuniti Keluarga Malaysia yang boleh menjadi satu institusi di seluruh Sarawak yang bukan hanya menumpukan kepada usaha mengekalkan perpaduan, semangat toleransi, hormat menghormati dan bekerjasa sama di kalangan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama,” tambahnya.

-- BERNAMA