Semua mangsa banjir di Sipitang, Sabah dibenar pulang

Credit: Sabah State Disaster Management Committee
22/05/2022 06:51 PM

SIPITANG, 22 Mei (Bernama) -- Kesemua 32 orang daripada 11 keluarga yang dipindahkan susulan banjir di Sipitang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan sehubungan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Mini Mesapol di sini yang dibuka sejak petang semalam ditutup hari ini.

"Tinjauan pihak berkuasa mendapati kawasan terkesan banjir yang melibatkan pemindahan penduduk telah pulih, justeru penduduk yang berpindah ke PPS Dewan Mini Mesapol dihantar pulang ke rumah masing-masing," menurut kenyataan itu.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan paras air Sungai Mengalong dan Sungai Lukutan naik mendadak manakala limpahan air berlebihan menyebabkan 17 kampung berdekatan dinaiki air.

-- BERNAMA