Sarawak masih tunggu maklum balas Persekutuan untuk jadi ahli lembaga pengarah LHDN

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali
20/05/2022 11:53 AM

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan mengenai calon yang dicadangkan menjadi wakilnya dalam lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata calon itu dicadangkan sebagai susulan kepada tuntutan Sarawak untuk mempunyai wakil dalam lembaga pengarah LHDN.

“Ini penting bagi memastikan Kerajaan Sarawak mengetahui kedudukan kewangan negara (dan) membantu usaha perbincangan dan rundingan berkenaan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Baki (GPS-Satok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Sharifah Hasidah berkata cadangan keahlian dalam lembaga pengarah LHDN merupakan antara tuntutan kerajaan negeri yang masih lagi dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.

Beberapa tuntutan lain yang masih dibincangkan termasuk isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta cadangan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Selain itu, cadangan pertambahan bilangan ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen dan perbincangan mengenai formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan asal Ibrahim, Sharifah Hasidah berkata setakat ini tuntutan Sarawak yang telah diselesaikan terdiri dari persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial, pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak dan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuat kuasa mulai 11 Feb lepas.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak juga telah mengemukakan cadangan pindaan kepada Senarai Perundangan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya untuk memindahkan perkara ‘Pelancongan’ daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama.

-- BERNAMA