SOP: Sarawak setuju ikut ketetapan KKM

28/04/2022 09:26 PM

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Sarawak bersetuju mengguna pakai ketetapan mengenai kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

JPBN juga bersetuju laporan mingguan mengenai kes COVID-19 dikeluarkan pada setiap Isnin.

“Walau bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan terus kekal berwaspada. Pastikan saranan dan nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

 -- BERNAMA