Pusat Sains Sarawak siap pada 2024

Datuk Roland Sagah Wee Inn
26/04/2022 04:22 PM

KUCHING, 26 April (Bernama) -- Pembinaan pusat sains Sarawak yang menelan kos sebanyak RM200 juta dijangka siap menjelang 2024, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata Pusat Sains Sarawak (SCC) akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembelajaran tidak formal dan memupuk literasi saintifik dalam kalangan rakyat Sarawak.

“SCC adalah cetusan idea Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mempunyai visi jelas untuk menjadikan negeri ini setanding (dengan negara maju lain) dari segi sains dan teknologi.

“Pembangunan sains dan teknologi sudah lama berkembang, tetapi saya fikir kita sudah jauh ketinggalan dan inilah masanya untuk kita mengejar. Lebih pantas lebih baik. Teknologi ada di mana-mana di dunia ini,” katanya ketika berucap pada bengkel pelan induk SCC fasa empat dan lima, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dr Annuar Rapaie, Setiausaha Tetap kementerian Datuk Kameri Affendi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains Singapura Dr Lim Tit Meng.

Sagah berkata penubuhan SCC itu akan merapatkan jurang pengetahuan dalam sains dan teknologi dalam kalangan rakyat Sarawak, selain menjadi lokasi menyeronokkan dan membantu orang ramai mempelajari sains dengan bermain dan sebagai sumber kepada pelajar abad ke-21 dan program pendidikan dewasa.

Bercakap pada sidang media kemudian, beliau berkata program dan bengkel di pusat sains itu akan disesuaikan untuk melengkapkan kurikulum sains sekolah menggunakan pembelajaran secara ‘hands-on’, berasaskan penyelidikan yang memuncak dalam projek untuk pelajar.

“Ia akan menjadi platform terbaik buat guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti perniagaan yang berdedikasi untuk bersatu demi cintakan sains,” katanya.

Seramai 70 pihak berkepentingan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan menyertai bengkel itu.

-- BERNAMA