Bekalan air, elektrik di seluruh Sarawak menjelang 2030

Datuk Julaihi Narawi
21/03/2022 07:14 PM

KUCHING, 21 Mac -- Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak menyasarkan 100 peratus atau seluruh kawasan negeri ini sepenuhnya mendapat bekalan air dan elektrik menjelang 2030, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Beliau berkata ketika ini sudah 96.5 peratus kawasan luar bandar Sarawak sudah disambungkan  bekalan elektrik dengan 66.9 peratus sudah diliputi bekalan air.

"Secara keseluruhannya 98.6 peratus kawasan bandar dan luar bandar Sarawak sudah ada bekalan elektrik dan 83.4 peratus bekalan air," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan menganjurkan satu Persidangan Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak 2022 selama dua hari di sini bermula 31 Mac bertujuan untuk membincangkan isu dan cabaran penyediaan kemudahan bekalan air, elektrik, gas dan telekomunikasi di negeri ini.

"Ia melibatkan pembentangan 13 kertas teknikal daripada semua pihak terlibat dan kita berharap dapat mengenal pasti cabaran, isu dan penyelesaiannya ke arah menjelang 2030," katanya sambil menambah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan persidangan berkenaan.

-- BERNAMA