Tohmahan jadi penghalang penyukatan tanah hak adat Bumiputera Sarawak

10/03/2022 07:13 PM

SIBU, 10 Mac -- Tohmahan sesetengah pihak bahawa penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri adalah cara Kerajaan Sarawak merampas tanah hak adat rakyat, menjadi halangan terhadap usaha mempercepatkan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sibu Mohamad Muazziz Othman berkata usaha memberikan penerangan dijalankan secara berterusan melalui sesi dialog bersama pemilik-pemilik tanah bagi menangkis tohmahan itu.

“Biarpun sukar menghentikan tohmahan tidak berasas itu yang disebarkan di laman media sosial, usaha memberikan penerangan yang sebenar akan dilakukan secara berterusan supaya Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang dimulakan pada 2010 dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Talian Penghantaran Overhead 500kv Baleh-Mapai (Sektor Sibu – Seksyen E) dan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Kawasan Poi, Kanowit dan Selangau, serta Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Pasai Siong, Sibu di sini, hari ini.

Pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTN  merupakan peringkat pertama di bawah program itu yang mengiktiraf tanah-tanah hak adat bumiputera sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

Peringkat ini adalah kaedah pengukuran yang berkesan dan cepat dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas, serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 dikeluarkan.

Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 kanun yang sama akan dilaksanakan.

Katanya pengukuran lot individu turut menghadapi pelbagai cabaran terutama dari segi kerjasama pemilik-pemilik tanah.

“Antara cabaran tersebut ialah ketidakmampuan pemilik tanah hak adat bumiputera itu melakukan kerja-kerja rintis bagi menentukan sempadan tanah mereka disebabkan faktor usia yang sudah tua.

Ada juga pemilik tanah tidak hadir semasa kerja-kerja penentuan sempadan sehingga menyebabkan pertindihan dan menjurus kepada pertelingkahan yang membuatkan usaha pengukuran tidak dapat diteruskan,” katanya.

Majlis pada hari ini dirasmikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang diwakili oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Awang Tengah dalam ucapan yang dibacakan oleh Len berkata setakat Februari lepas, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas kira-kira 1,023,292 hektar (ha) tanah hak adat bumiputera di seluruh Sarawak dan daripada jumlah itu 793,831ha telah diwartakan.

“Sebanyak 52,711 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 64,796ha bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN,” katanya.

Pada majlis itu Len menyampaikan 101 cek pampasan tanah yang keseluruhan berjumlah lebih RM1.64 juta kepada 74 pemilik tanah yang terbabit dalam projek Talian Penghantaran Overhead 500kv Baleh-Mapai.

Beliau turut menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 kepada 56 penerima daripada komuniti Iban bagi kawasan Ulu Sungai Poi seluas (3,286ha); Sungai Betawi, Lintang/ Sungai Sebangkat (250ha), Sungai Poi (61ha); Sungai Poi Hilir (718ha) di Daerah Kanowit dan Sepiring, Ulu Balingian (2,177ha), melibatkan keluasan keseluruhan 6,492ha.

-- BERNAMA