Projek bekalan air Kanowit Fasa 2 dijangka siap hujung tahun

Datuk Julaihi Narawi
02/03/2022 04:59 PM

SIBU, 2 Mac -- Projek Bekalan Air Kanowit Fasa Dua dekat sini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap penghujung tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dengan kos sekitar RM63.5 juta, projek berimpak tinggi melibatkan pembinaan paip air dari Loji Rawatan Air Lembaga Air Sibu di Jalan Salim ke daerah Kanowit itu dijangka dapat menyelesaikan isu bekalan air dihadapi di Kanowit, Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya.

“Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini dijangka melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memberi kualiti kehidupan lebih baik kepada penduduk di Kanowit, Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya,” katanya selepas melawat projek itu hari ini.

Skop kerja merangkumi pemasangan saluran paip air pelbagai saiz dari loji itu ke Kanowit termasuk penyambungan saluran paip air ke sistem yang sedia ada di kawasan Sibu Jaya, pembinaan stesen pam penggalak di Durin dan pembinaan tangki air di Bukong Jagoi.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh ke kawasan luar bandar.

-- BERNAMA