PERCEPAT PROSES TAPISAN KESELAMATAN EJEN MM2H - ABDUL KARIM

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
20/04/2024 06:24 PM

SAMARAHAN, 20 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta mempercepat proses tapisan keselamatan ejen program Malaysia My Second Home (MM2H), kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata pada masa ini, ejen program MM2H di negeri berkenaan tidak dapat memperbaharu lesen perniagaan menyebabkan timbul kesulitan.

Beliau berkata tanpa lesen, ejen tidak boleh menerima permohonan pihak yang berminat yang berhasrat menjadikan Sarawak sebagai rumah kedua mereka.

“Apabila lesen tidak diperbaharui, apa akan jadi kepada pekerja mereka? Pekerja perlu dibayar setiap bulan, mereka tidak boleh dibuang begitu sahaja.

“Saya dimaklumkan ada (ejen) yang sudah menerima deposit daripada bakal pemohon tetapi tidak dapat diproses. Saya harap MOTAC akan meneliti isu ini secepat mungkin...,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini.

Pada 17 April, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata MOTAC bersedia untuk memperkenalkan proses saringan untuk ejen dan perantara yang berkaitan dengan inisiatif MM2H.

Beliau berkata mana-mana ejen yang gagal memenuhi kelayakan baharu tidak akan diperbaharui lesen mereka.

Tiong berkata semua ejen mesti mendaftar semula dan tiada pembaharuan lesen sedia ada secara automatik akan diberikan.

-- BERNAMA