RMHC MALAYSIA, YDN SUMBANG PEK KEMBALI KE SEKOLAH DI SEKITAR KUCHING 

Students of SK Madrasah Datuk Hj Abdul Kadir Hasan, Kuching, Sarawak taking a group photo with Education Minister Fadhlina Sidek after the presentation ceremony of 'Pek Kembali ke Sekolah' from RMHC Malaysia in collaboration with Yayasan Didik Negara (YDN). (Credit: RMHC Malaysia)
02/02/2023 08:32 PM

KUCHING, 2 Feb (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) menyerahkan sumbangan ‘Pek Kembali ke Sekolah’ kepada 175 murid sekolah rendah di sekitar Kuching pada 27 Jan lepas.

RMHC Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di sini dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang menyampaikan sumbangan itu.

“Program RMHC Malaysia ini disokong sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia sebagai penaja korporat utama.

“Bagi 2022, RMHC Malaysia telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi penyediaan Pek Kembali ke Sekolah yang memanfaatkan kira-kira 25,000 murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden RMHC Datuk Azmir Jaafar berkata buat pertama kalinya, RMHC Malaysia dengan kerjasama YDN menganjurkan majlis penyerahan itu di luar Semenanjung Malaysia sejak program ini diperkenalkan.

“Semoga sumbangan disampaikan mampu menyuntik semangat anak-anak muda ini, sekali gus membolehkan mereka menjadi insan berjaya pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sama.

YDN ialah sebuah badan rasmi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang ditubuhkan bagi menggembleng kerjasama dan komitmen pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumbangan ke arah melestarikan pendidikan berkualiti.

-- BERNAMA