SYARIKAT PENERBANGAN DIGESA TAWAR TAMBANG BERPATUTAN KE SARAWAK MENJELANG SAMBUTAN PERAYAAN

29/11/2022 05:47 PM

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Syarikat-syarikat penerbangan digesa menawarkan tambang penerbangan berpatutan ke Sarawak untuk musim perayaan akan datang.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kementeriannya juga telah menulis surat kepada semua syarikat penerbangan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenai perkara itu.

“Ini bagi memastikan tambang penerbangan berpatutan untuk rakyat kita, terutama dalam kalangan pelajar dan mereka yang ingin melawat ahli keluarga serta sanak saudara pada musim perayaan, di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia.

“..kita tetap menggalakkan bakal pengembara untuk merancang perjalanan mereka dan menempah tiket penerbangan awal untuk mendapatkan tambang penerbangan promosi dan diskaun,” katanya dalam ucapan penggulungan mengenai bajet negeri untuk tahun depan, di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Sementara itu, Lee berkata setakat Jan hingga Sept tahun ini, sejumlah 88,979 pesawat dan 6,013,068 pergerakan penumpang direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak.

Beliau berkata kebanyakan penerbangan adalah dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, Brunei dan Singapura.

“Bagi kargo, 47,451 tan pergerakan kargo direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak termasuk di lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOLport) dari Jan hingga Sept tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata Sibu akan memiliki penerbangan terus pertamanya ke Singapura, apabila AirAsia Berhad mengadakan penerbangan sulungnya pada 16 Dis akan datang, menawarkan empat penerbangan ke negara republik itu setiap minggu.

"Kami percaya ini akan memberi kemudahan kepada pelancong perniagaan dan pelancong yang akan merangsang aktiviti ekonomi di Sibu," tambahnya.

-- BERNAMA