SARAWAK CATAT HASIL RM11.9 BILION BAGI 2022 - ABANG JOHARI

02/02/2023 04:52 PM

KUCHING, 2 Feb (Bernama) -- Sarawak mencatatkan hasil berjumlah RM11.9 bilion bagi 2022, prestasi hasil tertinggi yang pernah direkodkan oleh negeri ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata angka itu adalah 17 peratus lebih tinggi daripada hasil yang diunjurkan sebanyak RM10.2 bilion.

Beliau berkata hasil Sarawak meliputi empat kategori utama iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil serta pemberian Persekutuan dan bayaran balik.

Hasil cukai menyumbang RM6.7 bilion atau 56 peratus kepada jumlah hasil manakala kategori lain dengan sumbangan sebanyak 44 peratus.

“Berdasarkan kategori hasil cukai, cukai jualan negeri (SST) menyumbang 84 peratus atau RM5.6 bilion kepada jumlah hasil cukai yang dikutip. Produk boleh cukai di bawah SST antaranya adalah produk minyak dan gas, produk kelapa sawit dan aluminium.

“Prestasi yang lebih baik dari segi kutipan SST adalah didorong oleh harga pasaran yang lebih tinggi pada 2022 bagi produk minyak dan gas serta produk kelapa sawit,” katanya dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Khamis.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan terus mengkaji dan meneliti pelbagai inisiatif utama untuk meningkatkan hasil negeri melalui langkah meningkatkan, meluaskan dan mempelbagaikan sumber hasil.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk meneruskan pemberian Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi diskaun bil elektrik sebanyak lima hingga 25 peratus untuk pengguna domestik dan komersial serta industri bagi enam bulan pertama 2023.

Inisiatif ini akan melibatkan sejumlah RM200 juta, katanya.

-- BERNAMA