KHIDMAT NANTA TERUS DIPERLUKAN NEGARA

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
03/12/2022 04:43 PM

KUCHING, 3 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mencurah bakti selama 23 tahun kepada rakyat Sarawak, khususnya penduduk Parlimen Kapit sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.    

Bermula dengan menang kali pertama sebagai Ahli Parlimen Kapit dalam Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999, Nanta, 64, telah membuktikan kecemerlangan kepemimpinannya dan kekal menjadi pilihan rakyat kawasan itu untuk mewakili mereka di peringkat Persekutuan hingga ke hari ini.

Semangat perjuangan memakmurkan rakyat memang sudah sebati dalam dirinya yang merupakan anak kepada Tan Sri Leonard Linggi Jugah, satu-satunya tokoh pemimpin Sarawak yang terlibat dalam menggubal Rukun Negara pada 1970 yang menjadi ideologi kebangsaan rakyat Malaysia sehingga kini.

Datuknya pula, mendiang Tun Jugah Barieng merupakan di antara tokoh pemimpin Sarawak yang terlibat dalam rundingan peringkat tertinggi sehingga membawa negeri Bumi Kenyalang ini menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 16 Sept 1963.

Ibu Nanta, mendiang Puan Sri Margaret Linggi, dikenali sebagai pencinta seni tenunan kaum Iban dan telah menghasilkan sebuah buku bertajuk "The Ties That Bind: Iban Ikat Weaving" yang menceritakan secara mendalam mengenai seni itu.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Schiller International University, London, Nanta yang merupakan anak sulung dalam empat adik-beradik, meneroka dunia perniagaan setelah menamatkan pengajiannya pada 1983.

Pada tahun yang sama beliau mulai berjinak-jinak dengan dunia politik melalui penyertaannya dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti yang diasaskan oleh datuknya, Tun Jugah.

Kesungguhannya menyumbang bakti membolehkannya menaiki hirarki parti itu secara berperingkat, bermula sebagai ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB pada 1983 sehinggalah sebagai Setiausaha Agung parti, jawatan yang disandangnya sejak 2018.

Beliau menang dalam cubaan pertamanya bertanding untuk kerusi Parlimen Kapit dalam PRU10, menewaskan dua pencabar lain dengan majoriti besar sebanyak 11,016 undi dan memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada PRU11 dan PRU12, seterusnya mempertahankan kerusi itu pada PRU13, PRU14 dan PRU15.

Pada era kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau diberikan kepercayaan menyertai pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pada 2013 hingga 2018.  

Ketika PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mengambil keputusan keluar dari BN selepas PRU14 dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nanta dilantik sebagai setiausaha agung gabungan itu.

Perkhidmatan Nanta kembali ditagih pada 2020 berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah dua kerajaan, masing-masing dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengiktiraf keperluan perkhidmatan Nanta dan menyenaraikannya dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan sebagai Menteri Kerja Raya.

Sewaktu mengulas porfolio baru yang diterimanya itu, Nanta memberi jaminan akan meneruskan polisi kementerian berkenaan sebelum ini, selain menambah baik dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara. 

"Saya juga ingin menegaskan saya adalah ‘menteri untuk semua, bukan hanya untuk Sarawak”. Saya akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah kementerian ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya. 

-- BERNAMA